KONSEP KENDIRI DAN PERSONALITI
PENGENALAN KONSEP KENDIRI
Setiap
individu mempunyai anggapan terhadap diri sendiri dan bagaimana orang lain
memandang kepada dirinya. Konsep kendiri boleh dirumuskan sebagai persepsi diri
dari segi penilaian, pandangan, tanggapan, kepercayaan, terrmasuk kekuatan dan
kelemahan diri sendiri iaitu gambaran tentang rupa, kesihatan, kebolehan, dan
tingkah laku kendiri seseorang individu. Ini dibentuk hasil daripada interaksi
individu dengan orang lain dan penyesuaian diri dengan alam sekitar. Oleh
kerana itu, konsep kendiri merupakan satu elemen yang sangat penting dalam diri
setiap individu kerana ia akan digunakan untuk meramalkan apa yang akan berlaku
terhadap individu tersebut pada masa hadapan
Selain itu,
konsep kendiri juga banyak membantu individu untuk membuat keputusan dan
menentukan tindakan yang bakal diambil pada masa hadapan. Dalam kehidupan
seharian seseorang individu, mereka akan menempuh pelbagai bentuk interaksi
dengan persekitarannya. Oleh kerana itu, individu tersebut akan membuat
keputusan dan menentukan apakah tindakan yang akan diambil olehnya. Apabila
berlaku interaksi dengan persekitarannya, maka konsep kendiri akan timbul dan
mula terbentuk dalam diri setiap individu itu.
Konsep Kendiri juga
amat berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran. Secara amnya, sebagai
seorang guru atau pendidik yang bertanggungjawab mestilah memahami dan
mengamalkan konsep kendiri ini dalam kehidupan seharian. Seseorang pelajar
dikelilingi oleh persekitaran sosial yang bertindak mempengaruhinya membuat
keputusan dan menentukan masa depan. Agen-agen persekitaran seperti ibu, bapa,
guru dan rakan sebaya adalah agen yang mempengaruhi seseorang pelajar.
Agen-agen tersebut membantu seseorang pelajar bertindak hasil daripada apa yang
difikirkan dalam mindanya.
TEORI KONSEP KENDIRI
Pandangan konsep
kendiri dari sudut teori menurut Carl rogers (1950), ia menyatakan diri dimana
individu itu sendiri berikan kepada dirinya
sendiri secara sedar apabila menggunakan
perkataan “saya” atau “aku”. Manakala Vernon (1980) pula menyatakan personaliti
ialah pandangan kekuatan
dan kelemahan diri sendiri serta disokong dengan maklum balas tentang dirinya
daripada orang lain. Konsep
kendiri tersebut akan menjadi sesuatu yang penting kerana konsep tersebut akan
digunakan untuk meramal masa depannya atau tindakan yang bakal diambil. Menurut Stewat dan Friedman (1987), menghuraikan
konsep kendiri sebagai tanggapan individu terhadap identitinya yang berbeza
dengan individu yang lain sejak peringkat bayi. Manakala pendapat Amir Awang
(1991) pula, menyatakan ianya integrasi penilaian diri sendiri, penilaian orang
lain dan penilaiannya tentang tanggapan orang lain terhadap dirinya.
JENIS-JENIS KONSEP KENDIRI
Terdapat dua jenis konsep kendiri iaitu konsep kendiri
positif dan negatif. Berikut akan dibincangkan dengan lebih lanjut mengenai
kedua-dua konsep kendiri tersebut.
KONSEP KENDIRI POSITIF
Konsep
kendiri positif bermaksud seseorang itu percaya dan yakin kepada diri sendiri
secara lebih sihat, mempunyai minat yang baik dan objektif serta tidak terlalu
sensitif. Ia juga meliputi sikap terbuka dan memberi pandangan jika wujud
keadaan yang tidak baik dan stabil di mana ia boleh menyesuaikan diri dalam
pelbagai situasi. Jika kita perhatikan seseorang yang sering di kaitkan dengan
kejayaan dalam hidup ialah mereka yang dapat membina konsep kendiri yang
positif. Mereka yang mempunyai konsep kendiri yang positif ini sentiasa
menerima layanan dan perhatian yang baik sama ada daripada ibu bapa sendiri,
keluarga, guru, rakan-rakan mahupun orang yang berada di persekitarannya.
Individu ini akan
sentiasa mengalami lebih banyak kejayaan berbanding dengan kegagalan. Individu
ini juga tidak mudah melatah atau mengalah dan sanggup menghadapi sebarang
cabaran dan dugaan dan sekiranya berlakunya kegagalan, akan diterimanya dengan
tenang dan tabah. Selain itu individu ini bersifat optimistik, lebih terbuka sikapnya
serta sedia menerima pendapat dan kritikan orang lain.
Semangat dan
iltizam yang tinggi merupakan elemen yang penting kepada individu yang
berkonsep kendiri positif. Mereka akan menghadapi cabaran dengan penuh semangat
serta percaya kepada kebolehan diri dan tidak mudah mengalah atau berputus asa.
Mereka juga sentiasa berfikiran positif dan menjadikan cabaran sebagai semangat
untuk terus berjaya dalam hidup.
Di samping itu,
perasaan gembira dan riang adalah perasaan seorang individu yang mempunyai
konsep kendiri positif. Mereka pandai menyembunyikan masalah walaupun mereka
mempunyai banyak masalah serta tidak pernah mengeluh dan menganggap masalah
tersebut sebagai satu cabaran yang perlu diatasi. Mereka akan rasa sangat
gembira jika masalah tersebut dapat diatasi dan sekiranya tidak, mereka akan
merujuk serta meminta nasihat daripada orang yang boleh dipercayai dan memahami
diri mereka.
Di samping itu,
individu berkonsep kendiri positif mempengaruhi orang lain dengan menunjukkan
ciri-ciri konsep kendiri positif seperti bertanggungjawab, bangga dengan
kejayaan, selalu gembira serta menghadapi cabaran dengan semangat. Mereka dapat
mempengaruhi orang lain dalam usaha mendapat tempat dalam kalangan masyarakat
atau membuat keputusan.
Sifat menghargai
meliputi menghargai diri sendiri dan orang lain. Individu berkonsep kendiri
positif akan membentuk sikap menghargai kebolehan, pencapaian, kewibawaan diri
dan dalam masa yang sama mampu menghargai orang lain. Memberi pujian dan penghormatan
kepada orang lain akan menambahkan lagi pengaruh kerana orang yang diberi
penghargaan akan merasa dihargai dan diambil berat.
Tambahan pula,
individu yang pemurah dan suka membantu orang lain merupakan individu yang
mempunyai konsep kendiri positif. Mereka merasa bertanggungjawab untuk
menghulurkan bantuan dan menyelesaikan masalah mereka yang memerlukan.
Perbuatan ini sangat mulia dan patut ada dalam setiap diri individu. Akhir
sekali, individu yang mempunyai sifat-sifat diatas didapati senang mendapat
kawan dan disenangi oleh orang persekitaran. Ramai orang suka mendampingi
mereka kerana sikap mereka yang tidak sombong, pandai menghargai rakan dan
sentiasa membantu orang yang memerlukan bantuan.
KONSEP KENDIRI NEGATIF
Jika
dilihat pula kendiri negatif merupakan individu yang sering dikaitkan dengan
kegagalan sama ada dalam apa bidang sekali pun biasanya tidak lari daripada
mempunyai konsep kendiri yang negatif. Berbeza penampilannya dengan individu
yang mempunyai konsep kendiri yang positif di mana individu jenis ini akan
sentiasa berasa tidak puas hati, tidak gembira, cepat merajuk serta perasaannya
mudah tersinggung. Individu seperti ini sering dimarahi ataupun dikritik sama
ada oleh ibu bapa, guru, rakan-rakan dan sesiapa sahaja yang berada di
persekitarannya.
Mereka
juga kurang menerima kasih sayang atau perhatian. Mereka biasanya kurang
diterima oleh guru, rakan sebaya mahupun orang lain. Keadaan ini akan
memburukkan lagi keadaan di mana individu tersebut akan berasa dirinya mempunyai
aras keyakinan yang rendah. Seterusnya keadaan ini akan menyebabkan individu
berkenaan akan membentuk sifat rendah diri dalam dirinya. Akibat daripada itu
individu tersebut akan menjadi seorang yang pasif, sentiasa dalam keadaan yang
muram dan tidak mudah untuk bergaul dengan orang lain atau tidak mahu
bersosialisasi dengan persekitarannya.
Mereka
yang tergolong dalam golongan individu yang mempunyai konsep kendiri negatif
ini lazimnya suka melakukan kerja-kerja yang mudah dan senang untuk menjamin
kejayaan. Mereka juga suka bergaul dan bermain dengan individu yang lebih muda
darinya dan yang mempunyai kemampuan intelektual yang rendah. Apa yang amat
menyedihkan, individu ini amat mudah dipermainkan oleh orang lain.
Di samping itu,
individu itu juga akan mudah putus asa apabila menemui kegagalan.
Lama-kelamaan, dia akan bersikap pasif dan tidak lagi mahu berusaha. Mereka
kurang jelas berkenaan konsep kendiri. Menurut Kernis, Brocker, dan Frankel
(1989), mereka sentiasa memikirkan sesuatu yang buruk atau tidak baik pada diri
mereka, sentiasa menetapkan sasaran yang tidak wujud ataupun tidak mungkin
dicapai dan bersikap pesimistik dengan masa depan, bertingkah laku buruk
ataupun beremosi pada pendapat, pandangan ataupun kritikan orang lain Sebagai
contoh, sekiranya individu gagal dalam menyelesaikan masalah, dia cenderung
membuat penilaian negatif pada diri sendiri. Mereka akan berputus asa dan
hilang keyakinan.
FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI
KONSEP KENDIRI POSITIF DAN NEGATIF
Terdapat
beberapa faktor yang boleh menyebabkan terbentuknya konsep kendiri positif dan
negatif pada setiap individu. Antaranya ialah pertama, faktor dari sifat
semulajadi. Iaitu dari aspek baka dan juga penglibatan diri sendiri. Baka yang
baik sama ada dari segi keadaan mental dan fizikal akan memberi kesan kepada
perkembangan konsep kendiri yang positif. Hal ini adalah kerana tubuh badan dan
minda yang sihat sangat mempengaruhi tingkah laku seseorang individu.
Sebaliknya jika seseorang itu mengalami perkembangan konsep kendiri yang
negatif sebagai contohnya mempunyai masalah kecacatan yang diwarisi semasa
lahir iaitu seperti kerosakan mental dan sebagainya.
Manakala
dari segi penglibatan diri bergantung pada setiap individu tersebut dalam
penglibatan dengan aktiviti-aktiviti yang dilakukannya. Individu yang mempunyai
persepsi positif terhadap diri sendiri dapat menerima semua perkara tentang
dirinya dengan baik. Hal ini yang demikian persekitaran di sekeliling individu
juga merangkumi pengalaman awal ketika memasuki alam persekolahan, media massa,
budaya serta adat resam dan persepsi masyarakat sekitar.
Kedua,
faktor dari segi ‘role model’ iaitu peranan ibu bapa, guru dan rakan sebaya.
Ibu bapa adalah insan yang paling penting dalam kehidupan seseorang individu.
Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak mereka dengan menerapkan nilai-nilai
murni serta menunjukkan peribadi yang baik agar menjadi contoh kepada anak-anak
mereka. Secara tidak langsung kanak-kanak tersebut mempunyai perkembangan
konsep kendiri yang positif sejak dari kecil lagi melalui ibu bapa mereka.
Manakala jika sebaliknya berlaku iaitu ibu bapa tidak menunjukkan contoh
teladan yang baik maka anak-anak mereka akan mengalami perkembangan konsep
kendiri yang negatif.
Rakan sebaya juga
memberi pengaruh yang sangat besar. Ramai para remaja yang terlibat dengan
gelaja yang tidak sihat disebabkan terpengaruh dengan rakan sebaya yang tidak
bermoral. Individu yang mudah terpengaruh dengan orang lain adalah individu
yang tidak mempunyai jati diri atau konsep kendiri positif yang kukuh. Selain
itu, guru juga boleh mempengaruhi perkembangan konsep kendiri positif kepada
kanak-kanak. Mereka bertanggungjawab dalam mendidik kanak-kanak tersebut dengan
membantu mereka membina konsep kendiri yang positif dan melarang mereka
daripada melakukan hal yang tidak sepatutnya.
Ketiga dari segi
faktor persekitaran seperti sebaran am, budaya serta persepsi dari orang lain. Pengaruh
sebaran am seperti rancangan televisyen dan sumber internet memainkan peranan
yang penting dalam perkembangan konsep kendiri yang positif dan negatif kepada
penonton. Maklumat yang berunsurkan ilmu pengetahuan dapat membentuk
perkembangan konsep kendiri yang positif daripada segi agama dan moral. Media
massa juga turut memberi pengaruh kepada perkembangan konsep kendiri yang
negatif kepada remaja seperti terdapat rancangan televisyen cerita dari barat
yang memaparkan unsur-unsur negatif seperti budaya kuning yang merupakan budaya
masyarakat barat yang mengamalkan gaya hidup bebas. Akibatnya, golongan remaja
terdedah dengan pengaruh negatif daripada luar dan mempunyai konsep kendiri
yang negatif.
Dari sudut budaya
pula kebudayaan yang berbeza memang mempunyai norma dan nilai yeng berbeza.
Penekanan terhadap satu-satu nilai didalam sesebuah kebudayaan tertentu akan
mempengaruhi perkembangan kendiri pada setiap individu juga. Didalam kebanyakan
kebudayaan, banyak ditekankan mengenai nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati,
bertoleransi dan tolong-menolong yang ditekankan. Individu yang dibesarkan
dengan kebudayaan seperti ini tentu mempunyai kendiri yang positif dan akan
menonjolkan personaliti yang seimbang.
Seterusnya yang
keempat merupakan faktor dari segi kepercayaan seperti agama, keselamatan,
kasih sayang dan juga kehormatan diri. Setiap individu yang berpegang teguh
pada agama akan menonjolkan perkembangan kendiri yang positif dalam diri
mereka. Di samping itu, aspek keselamatan diri adalah aspek yang tidak boleh
dipandang ringan. Kanak- kanak akan menjalani hidup mereka secara sihat tanpa
rasa terancam jika sentiasa dilindungi oleh orang di sekelilingnya. Namun, jika
kanak-kanak tersebut hidup dalam keadaan bimbang dan takut akibat tekanan
persekitaran mereka mungkin akan mengalami masalah dalam diri.
Selain itu, kasih
sayang adalah aspek yang penting dalam kehidupan manusia, khususnya kepada
kanak-kanak yang masih kecil. Dengan kasih sayang yang diberikan oleh keluarga
dan orang sekeliling, mereka akan sentiasa gembira dan selamat bagi membina
konsep kendiri yang positif. Contohnya, sifat penyayang, saling sayang-menyayangi
dan sebagainya.
Akhir sekali,
penghormatan diri hendaklah diperlihara oleh setiap individu. Khususnya,
golongan remaja. Jika mereka sentiasa menjaga kehormatan diri, mereka dapat
mencegah diri daripada terlibat dengan perkara yang tidak bermoral. Sifat malu
melakukan perkara yang tidak bermoral adalah konsep kendiri yang positif yang
harus ada dalam diri seseorang individu. Hal ini adalah kerana sifat malu dapat
membuatkan seseorang individu menjaga maruah dirinya daripada tercemar.
CARA-CARA GURU MEMBANTU PEMBENTUKAN
KONSEP KENDIRI POSITIF
Faktor sekolah
dan persekolahan telah memberi sumbangan terhadap pembentukan dan perkembangan
personaliti murid-murid. Tenaga pendidik telah diberikan tanggungjawab untuk
membentuk personaliti pelajar-pelajar selain daripada ibu bapa mereka. Seorang
guru yang sensitif dan peka perlu menjaga konsep kendiri murid-muridnya. Contohnya
guru perlu mengembangkan potensi yang sedia ada dalam murid-murid samada dalam
bidang akedemik, kesukanan, bidang seni dan sebagainya. Guru juga tidak boleh
membandingkan antara murid-muridnya kerana setiap murid adalah berbeza dan
unik. Seorang guru juga tidak boleh melabel seperti murid ‘pandai’ dan murid
‘lembab’ atau sebagainya. Ini lambat laun murid-murid akan mempercayai bahawa
mereka betul-betul lembab dan tidak berguna. Guru mesti pandai menggunakan
penilaian yang pelbagai kerana prestasi akademik murid sentiasa berubah.
PERKEMBANGAN PERSONALITI
Setiap individu
adalah unik dan tiada seorang individu pun yang benar-benar menyerupai atau
menyamai antara atau sama lain. Hal ini kerana, setiap individu mempunyai
personaliti yang tersendiri. Personaliti atau sahsiah melambangkan ciri-ciri
keperibadian individu dan mencirikan perbezaan antara setiap individu.
Personaliti adalah sifat yang ada pada individu seperti cara berfikir, beraksi,
beremosi, persepsi dan memperihalkan sifat-sifat fizikal, emosi dan mental
setiap insan.
Secara umum
personaliti bermaksud sahsiah, keperibadian, atau perwatakan seseorang. Ia berasal
daripada Bahasa Latin iaitu ‘persona’ yang bermaksud topeng muka yang digunakan
oleh pelakon Yunani pada masa dulu untuk mewakili sesuatu perwatakan orang di
pentas. Personaliti ialah ciri-ciri keseluruhan tingkah laku pada seseorang
individu, tetapi berlainan dengan orang lain. Ia mewakili perwatakan seseorang
individu dan dapat diperhatikan dan dinilai melalui tingkah laku. Di samping
itu, ramai yang menyatakan personaliti adalah gerakbalas tingkah laku terhadap
situasi tertentu. Oleh sebab itu, di kalangan ahli psikologi mempunyai pelbagai
pendapat tentang pengertian personaliti.
Menurut pendapat
Alder,personaliti merupakan gaya hidup seseorang individu. Manakala Gordon
Allport menyatakan personaliti
sebagai organisasi sistem psikologi yang dinamik dalam jiwa individu. Ia akan
menentukan ciri-ciri tingkah laku dan penyesuaiannya dengan alam persekitaran. Pandangan
Crow and Crow pula menyatakan personaliti seseorang adalah perwatakan fizikal,
corak pertuturan dan daya penarik yang dimilikinya. Menurut Gage dan Berliner
pula, personaliti merangkumi segala aspek tingkah laku manusia, keupayaan,
sikap, pendapat, kepercayaan, kognitif dan emosi seseorang.
Walau bagaimana
pun konsep personaliti secara umumnya,
manusia dapat dibezakan menerusi dua aspek iaitu kemampuan dan personaliti. Hal
ini yang demikian, aspek kemampuan meliputi pencapaian dalam pembelajaran,
kecerdasan dan bakat. Berlainan pula dengan aspek personaliti yang meliputi
watak, sifat, penyesuaian diri, minat, emosi, sikap dan motivasi. Oleh sebab
itu, dapat kita dapat melihat perkaitan antara personaliti seseorang itu dengan
konsep kendiri. Hal ini kerana, personaliti merupakan sifat-sifat atau
ciri-ciri yang dimiliki oleh seseorang individu, seperti cara berfikir, dan
beremosi yang membolehkan dirinya dibezakan dengan individu lain.
Seterusnya, kita
dapat perhatikan jika konsep kendiri seseorang itu positif, maka individu
tersebut dapat menilai dan memberi pendapat mengenai dirinya secara sedar
tentang kebaikan dan kekurangannya, serta dapat menerima maklum balas daripada
orang lain. Hal ini jelas, menunjukkan bahawa saling perkaitan antara
personaliti dan konsep kendiri amat ketara dalam diri setiap individu.
Kesimpulannya,
personaliti merupakan gabungan daripada berbagai sifat dan konsep kendiri
seseorang. Hal ini setiap individu yang mempunyai konsep kendiri positif akan
menghasilkan personaliti yang bersesuaian dengan keperluan persekitarannya.
Dengan gaya percakapan, cara bertindak, tingkah laku yang ditunjukkan dan cara
seseorang itu berinteraksi dengan persekitarannya dapat membantu untuk mengenali
personaliti seseorang itu dengan lebih mendalam.
FAKTOR-FAKTOR
YANG MEMPENGARUHI PERSONALITI
Pelbagai faktor
yang dapat mempengaruhi perkembangan personaliti individu. Antaranya faktor
kebakaan dan faktor persekitaran. Kebakaan melibatkan dengan kecerdasan, emosi
dan juga bentuk tubuh. Pola genetik yang wujud pada masa persenyawaan
mempengaruhi perkembangan personaliti individu. Contohnya, kerosakan otak yang
diwarisi, kecacatan atau penyakit semasa lahir sangat mempengaruhi tingkah laku
individu. Ini termasuklah faktor-faktor yang berhubung dengan bentuk tubuh
badan seperti ketinggian, berat badan, warna kulit dan fungsi-fungsi kederiaan.
Perhubungan dari
segi emosi pula, ahli psikologi percaya dengan perhubungan emosi awal dengan
ibu menghabiskan banyak masa bersama anak-anak mereka, maka mereka mempunyai
peluang yang besar untuk mempengaruhi emosi anak-anak dan tingkah laku. Ibu
juga merupakan model kepada anak-anak mereka. Emosi merupakan aspek yang
mempengaruhi secara mendalam dalam gaya pembelajaran seseorang murid itu. Aspek
ini perlu dipandang tinggi pengaruhnya kerana akan membawa kesan yang mendalam
kepada pelajar.
Manakala faktor
dari segi persekitaran pula boleh dipengaruhi dari keluarga, rakan sebaya dan
juga media massa. Pengaruh keluarga turut mempengaruhi personaliti kanak-kanak
kerana masa kanak-kanak banyak diluangkan bersama keluarga. Keluarga yang dapat
mewujudkan suasana kemesraan, kasih sayang, dan bertimbang rasa mempengaruhi
perkembangan personaliti kanak-kanak. Ibu bapa seharusnya memainkan peranan
yang baik kepada anak-anak apabila berinteraksi seperti bercakap, menunjukkan
nilai-nilai murni serta memberi kasih sayang yang sepatutnya sewaktu
perkembangan mereka. Ini dapat membantu kanak-kanak membina keyakinan diri
seterusnya dapat membantu ke arah perkembangan personaliti yang positif. Latar
belakang keluarga yang porak-peranda akibat penceraian dan perpisahan akan
memberi kesan buruk kepada emosi kanak-kanak.
Seterusnya dari
pengaruh rakan sebaya juga adalah merupakan salah satu faktor yang terpenting
didalam mempengaruhi pembentukan personaliti seseorang. Ini kerana setiap rakan
sebaya mempunyai nilai-nilai tersendiri. Rakan sebaya juga adalah orang kedua
terpenting selepas keluarga bagi remaja. Oleh sebab itulah kebanyakkan tindak
tanduknya dipengaruhi oleh rakan sebaya mereka. Samaada nilai ataupun sikap
yang dibawa itu adalah yang positif ataupun yang negatif kepada.
Selain itu juga,
peranan media dan elektronik juga memainkan peranan penting dalam perkembangan
personaliti individu pada hari ini. Zaman yang moden erta membangun ini, media
massa adalah merupakan medium perhubungan yang terpenting didalam kehidupan
seharian. Maka tidak hairan jika media massa juga memainkan peranan yang
penting didalam membentuk perkembangan personaliti seseorang. Oleh sebab itu,
pendedahan kepada media massa yang sihat adalah penting untuk menjamin
perkembangan personaliti yang sihat. Jika kanak-kanak sentiasa didedahkan
kepada tayangan video atau filem yang berunsurkan keganasan, kezaliman dan
sebagainya, maka mereka akan bertendensi untuk berkelakuan yang lebih agresif.
Sebaliknya jika kanak-kank lebih didedahkan dengan tayangan yang bercorak
ilmiah seperti taman sesama dan sebagainya, akan dapat membantu perkembangan
intelek seseorang pelajar.
KLASIFIKASI
PERSONALITI
Menurut Carl Jung
(1875-1961), manusia boleh diklasifikasikan kepada tiga kumpulan berdasarkan
personaliti peribadi iaitu introvert, ekstrovert dan ambivert. Ekstrovert merupakan
seorang individu yang lebih suka kepada dunia luar berbanding dunia dalam.
Individu yang mempunyai sifat ini biasanya terdiri daripada golongan yang agresif
atau aktif di mana mereka suka bersosialisasi dan sering melibatkan diri dalam
pelbagai aktiviti sosial. Mereka menyokong kepada perubahan dan bersifat
optimis. Individu jenis ini suka bergaul dengan orang lain, bebas daripada
kebimbangan dan tidak mudah malu. Namun mereka ini tidak suka terikat kepada
sesuatu keadaan atau peraturan.
Berbeza dengan
introvert pula, individu yang mempunyai personaliti ini adalah orang yang
bersifat pasif, emosional, pendiam dan kurang sosialisasi. Mereka lebih suka
melakukan dan menyiapkan kerja secara individu tanpa mengharapkan bantuan
daripada orang lain. Mereka mempunyai sifat yang serius, pemalu, tidak mempunyai
cita-cita yang tinggi dan kurang mengambil inisiatif. Mereka juga kurang selesa
terhadap perubahan tetapi suka kepada sistem hidup yang teratur atau sistematik.
Oleh yang demikian, mereka ini biasanya selalu mengikut peraturan yang
ditetapkan dan mempunyai disiplin yang tinggi.
Manakala
ambivert, individu daripada kumpulan ini mempunyai trait daripada kedua-dua
jenis personaliti introvert dan juga ekstrovert. Mereka merupakan gabungan
kedua-dua personaliti ini dan berkemungkinan bersifat seperti aktif, sensitif,
optimistik suka berkawan tetapi memilih bekerja berseorangan, bertutur lancar
tetapi berfikir sebelum bercakap atau memberi pendapat dan suka kepada
kehidupan yang teratur. Apa yang membezakan ialah kadang-kadang individu
dipengaruhi secara dominan daripada salah satu sifat di atas.
Jika dikaji
dengan sebaik-baiknya, sebenarnya tiada individu yang terdiri daripada salah
satu sifat-sifat di atas tetapi setiap individu itu mempunyai kedua-dua ciri-ciri
personaliti ini. Setiap individu dikatakan mempunyai kedua-dua ciri-ciri ini kerana
mereka akan menunjukkan tingkah laku berdasarkan keadaan atau situasi pada satu
masa tertentu.
CARA-CARA MENGENDALIKAN PERSONALITI YANG BERBEZA
Faktor
persekolahan telah memberi sumbangan terhadap pembentukan dan perkembangan
personaliti murid-murid. Tenaga pendidik telah diberikan tanggungjawab untuk
membentuk personaliti pelajar-pelajar selain daripada ibu bapa mereka. Setiap
pelajar mempunyai gaya pembelajaran yang tersendiri. Ada pelajar yang suka
belajar didalam keadaan yang bebas bergerak, ada yang suka belajar pada satu
tempat sahaja dan banyak lagi gaya pembelajaran pelajar-pelajar. Namun begitu,
guru handaklah mengenal pasti personaliti setiap pelajar serta mempunyai
strategi-strategi pengajaran yang sesuai agar pelajar-pelajar dapat menerima
apa yang diajarkan oleh guru.
PELAJAR
INTROVERT
Guru berperanan
penting dalam membentuk ciri-ciri personaliti yang positif terhadap
murid-muridnya. Sudah tentu terdapat murid yang mempunyai ciri-ciri introvert.
Bagi menangani masalah murid-murid yang mempunyai sifat introvert seperti
pemalu, pendiam dan suka mengasingkan diri, guru hendaklah memastikan
penglibatan murid perlu optima apabila berada di dalam kelas. Contohnya, bukan
sahaja memastikan murid itu menjalankan kerja sekolah yang diberi malahan murid
itu turut menjalankan tugasan yang tidak formal seperti membersihkan bilik
darjah. Ini akan menggalakkan murid itu dapat bekerjasama dengan rakan yang
lain semasa menjalankan tugas.
Selain itu, guru
perlu memberikan lebih pujian kepada mereka yang introvert. Bagi mereka yang
mempunyai ciri introvert ini, dengan memberikan pujian kepada mereka, ini akan
dapat mendorong mereka berasa lebih yakin dan berusaha dengan lebih gigih pada
masa akan datang. Di samping itu juga, guru perlu sentiasa mengajukan beberapa
soalan supaya dapat menimbulkan perasaan ingin tahu pelajar-pelajar terhadap
sesuatu perkara dan mereka akan menyelesaikan persoalan-persoalan tersebut
dengan sendiri.
Terakhir adalah
dengan mengadakan bengkel motivasi yang dikendalikan dari masa ke semasa.
Tujuan bengkel motivasi ini diadakan adalah untuk mencungkil bakat dan prestasi
pelajar-pelajar supaya mereka yang mempunyai personaliti yang berbeza ini dapat
dicungkil.
PELAJAR EKSTROVERT
Menangani pelajar
ekstrovert pula, guru perlu mengadakan perbincangan berkumpulan dengan kerap.
Bagi individu ekstrovert ini, perbincangan merupakan suatu kaedah yang begitu
disukai oleh mereka dan ini dapat menimbulkan rasa minat untuk mereka belajar
dengan bersungguh-sungguh. Di samping itu juga, guru boleh melantik mereka bagi
membimbing murid sedarjah yang mempunyai ciri introvert dalam aktiviti kumpulan
tersebut. Selain itu, guru perlu menggalakkan murid-murid ini mengemukakan
soalan-soalan ketika proses pembelajaran di dalam kelas.
Oleh yang
demikian, boleh disimpulkan bahawa tugas seorang guru bukan sekadar sebagai
tenaga pengajar malah lebih kepada seorang pembimbing. Guru yang bersifat
pembimbing pasti dapat melahirkan para pelajar yang mempunyai personaliti yang
penuh dengan nilai-nilai murni dan seterusnya menjadi insan yang berguna kepada
agama, keluarga, masyarakat, nusa dan bangsa. Dalam bidang pendidikan bukan
sahaja memerlukan guru yang hanya memiliki minat yang mendalam dalam kerjaya
perguruan tetapi juga komited untuk memberikan yang terbaik kepada pelajar
mereka untuk membentuk personaliti yang unggul.
Perbezaan individu introvert dengan extrovert
PERANAN
GURU DALAM MEMBENTUK PERSONALITI
Guru mestilah
mengambil perhatian tentang perbezaan yang terdapat pada murid kerana setiap
kanak-kanak adalah berbeza antara satu sama lain. Hal ini akan membawa kepada
pembentukan konsep kendiri yang salah. Oleh itu guru mestilah memainkan peranan
penting untuk membantu kanak-kanak dalam membentuk perkembangan personaliti
yang baik. Satu peranan guru yang sangat penting ialah menolong membentuk
personaliti baik dalam diri setiap orang murid. Personaliti guru memainkan
peranan penting kerana ianya mempengaruhi pengajaran dan pembelajaran di dalam
kelas.
Personaliti guru
sering menjadi perhatian pelajar-pelajar. Peranan seorang guru perlu peka dan
sensitif terhadap personaliti murid-muridnya melalui pemerhatian dan juga
interaksi bersama pelajar. Guru akan mengetahui personaliti murid-muridnya
dengan memerhati gaya percakapan, cara bertindak, tingkah laku serta interaksi
dan komunikasi murid di antara satu sama lain dalam bilik darjah. Guru yang
mempunyai sifat sabar yang tinggi, mesra, bertimbang rasa, kesediaan mendengar,
kesediaan menerima kritikan, rajin, adil, periang dan berdedikasi akan
mencerminkan personaliti diri seseorang guru itu untuk menjadi pendidik yang
sejati.
Guru juga perlu
mempunyai sifat yang kreatif dan inovatif bagi meningkatkan pembentukan
personaliti yang baru bagi pelajar-pelajar.. Sifat kreatif dan inovatif yang
ada pada guru itu, akan mewujudkan pengajaran guru yang lebih menyeronokkan,
diminati dan meninggalkan kesan kepada pelajar dan secara tidak langsung
mempengaruhi pelajar untuk terus belajar. Individu yang bergelar guru perlu
sentiasa melakukan refleksi dan fleksibel dalam pendekatan-pendekatan pengajaran
dan pembelajaran bagi meningkatkan semangat para pelajar.
Oleh itu, peranan
guru dalam pembentukan personaliti memerlukan guru yang mempunyai pakej
personaliti yang lengkap, baik dan memenuhi etika bagi memartabatkan profession
perguruan. Kesimpulannya guru sering menjadi penilaian bukan hanya kepada
pelajar, malah juga dinilai oleh anggota masyarakat khasnya ibubapa.
KESIMPULAN
Secara
keseluruhannya, perkembangan konsep kendiri adalalah penilaian, pandangan,
tanggapan, kepercayaan termasuk kekuatan dan kelemahan diri sendiri, keluarga,
guru, sekolah, rakan sebaya dan warga masyarakat serta pengalaman yang sesuai
dengan persekitaran. Dalam perkembangan kendiri terdapat dua aspek iaitu aspek
personaliti dan konsep kendiri. Kedua-dua aspek ini saling berkait rapat antara
satu sama lain.
Aspek personaliti
merupakan gabungan daripada berbagai sifat dan konsep kendiri seseorang.
Individu yang mempunyai konsep kendiri positif akan menghasilkan personaliti
yang bersesuaian dengan keperluan persekitaranya. Personaliti seseorang dapat
dikenali dengan cara tingkah laku, gaya percakapan dan sebagainya.
Seterusnya, aspek
konsep kendiri pula meliputi keseluruhan perkembangan personaliti seseorang
individu. Aspek-aspek ini adalah penting bagi menimbulkan kesedaran guru
pelatih terhadap kepentingan mempunyai konsep kendiri yang positif adalah
sangat penting supaya dapat bersedia
menghadapi cabaran sebenar dalam dunia pendidikan. Bab ini sekali gus telah
memberi pengetahuan kepada saya mengenai perbezaan konsep kendiri dan juga
personaliti yang terdapat dalam diri setiap individu.
RUJUKAN
Mok Soon Sang (2008). Psikologi Pendidikan untuk
Pengajaran & Pembelajaran. Puchong, Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Mok Soon Sang (2008). Pengurusan Bimbingan &
Kaunseling. Puchong, Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Boon Pong Ying & Ragbir Kaur (1998). Psikologi II
(Semester II). Kuala Lumpur: Penerbit fajar bakti Sdn. Bhd.
Dr. Ragbir Kaur Joginder Singh (PhD) (2012). Pedagogi Panduan
Ilmu Pendidikan untuk DPLI. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn Bhd. Edisi Pertama.
Mok Soon Sang (2012), Perkembangan Kanak-Kanak. Puchong, Selangor:
Penerbitan Multimedia Sdn.Bhd. Edisi Ketiga.
DISEDIAKAN OLEH : SYARIFAH NUR DIYANA WAFA BT SYED
ABDUL HAMID