KONSEP
DAN PENGERTIAN HELAH BELA DIRI
Budaya ‘Helah Bela Diri’ satu budaya yang
sering diamalkan di sekolah khususnya bagi murid-murid sekolah rendah atas
tujuan utama untuk ‘menyelamatkan diri’. Apabila saya hendak mengumpul latihan
yang diberi semalam, saya sering menerima alasan berikut daripada murid:
- terlupa nak bawa..
- tertinggal..
- mak tak masukkan buku dalam beg…
- kawan pinjam..
- pensel tiada
- buku hilang
- dan macam-macam alasan lagi.
Situasi diatas
merupakan situasi yang sering dihadapi oleh kebanyakan guru-guru di sekolah
masa kini. Mengapa wujudnya budaya helah bela diri ini? Disini saya ingin
menghuraikan pemahaman saya berkaitan dengan mekanisme helah bela diri ini.
Antara konsep penting dalam kajian psikologi ialah helah bela diri (defense
mechanism). Aliran psikoanalisis yang dipelopori oleh Sigmund Freud memberi
perhatian besar terhadap konsep helah bela diri. Namun, perbincangan ini hanya
terhad kepada tingkah laku murid yang masih melakukan pelbagai eksperimen
kendiri dalam proses membina identiti dan keperibadian setelah memasuki fasa
autonomi yang lebih tinggi, manakala fasa pergantungan (dependency)
mereka pula menjadi lebih rendah.
Helah bela diri boleh dinisbahkan sebagai topeng kepada si pemakai bagi
menyembunyikah wajah sebenar. Terdapat pelbagai jenis topeng yang bertukar ganti
berdasarkan tujuan tertentu. Pada amnya, semua manusia tidak sunyi daripada
kekurangan dan khilaf. Maka, manusia akan berusaha supaya hanya sisi terang
mereka yang kelihatan, sementara sisi gelap dapat disorokkan.
Murid sekolah memang tidak pernah terkecuali. Sebagai murid, dalam
banyak keadaan mereka berada dalam kedudukan yang tidak memihak (disadvantage).
Selain disogokkan dengan pelbagai harapan, kecuali harapan kendiri, murid
sering menganggap diri mereka sebagai "mangsa" kepada banyak proses.
Murid ditetapkan dengan sejumlah kod tingkah laku, peraturan dan etika.
Murid perlu mengawal diri dalam ruang bilik darjah (termasuk bengkel, makmal
dan padang permainan) supaya proses pembelajaran dapat diterima sepenuhnya.
Rutin harian enam jam sehari, lima hari seminggu, 42 minggu setahun dan
kira-kira 200 hari setahun itulah yang akan dilalui sepanjang tempoh bergelar
sebagai murid.
Sebagai kanak-kanak dan remaja yang sedang mengalami perubahan hormon,
serta pertumbuhan fizikal anatomi dan fisiologi, sesetengah murid mungkin tidak
betah diam membatu untuk sesuatu tempoh yang panjang kepada mereka. Mujurlah
reka bentuk pedadogi pembelajaran telah mengambil kira segala domain kognitif,
afektif dan psikomotor, selain akur kepada taksonomi Bloom, somatik dan reka
bentuk aktiviti yang membolehkan murid mengembangkan potensi dan yang ada dalam
diri mereka.
Kepesatan perubahan persekitaran yang lebih deras bermakna bahawa murid
perlu disediakan dengan kurikulum yang mampu menampung kehendak semasa dan masa
hadapan, di samping tidak melepaskan akar umbi dan jati diri mereka. Prinsip
pemerolehan ilmu diolah begitu rupa supaya input pembelajaran akan kekal
relevan walaupun persekitaran dan zaman sudah berlainan. Maka, banyaklah
tugasan yang dibekalkan kepada murid bagi mencapai hasrat berkenaan. Sesetengah
daripada murid ini berpendirian positif dan sesetangah pula berpendirian
negative yang membawa kepada wujudnya mekanisme helah bela diri dikalangan
murid tersebut.
Mekanisme bela diri berlaku bagi menjaga
pembentukan ego yang sedia ada dalam pengalaman seorang
individu. Mekanisme bela diri berpandukan kepada pengalaman yang tersirat
pada peringkat bawah sedar dalam struktur ego. Seorang individu belajar hasil
dari pengalamannya tentang segala contoh dan kegiatan berkaitan naluri diri
bagi memuaskan kehendaknya. Apabila fungsi ego yang sedia ada tidak dapat
menyesuaikan dengan keadaan sekeliling, seorang individu akan secara tanpa
sedar menggunakan mekanisme bela diri bagi menagani keadaan yang dihadapi.
Menurut Davidoff (1976) helah bela diri merujuk kepada cara atau taktik
seseorang memberi alasan tentang sesuatu tindakannya, sedangkan alasan yang
diberikan itu bukan sebab yang sebenarnya.
Manakala Sigmund Freud pula menyatakan helah bela diri digunakan untuk
mengubah fokus perhatian atau memasuki alam fantasia atau melakukan tindakan
tertentu untuk mengurangkan kerisauan. Helah bela diri juga sebagai pelindung
atau pembela bagi konsep kendiri dengan menyamakan perkara tidak boleh diterima
oleh diri.
TEORI PERSONALITI SIGMUND FREUD
Sigmund Freud juga mengandaikan Id adalah
semua gejala yang neutral dalam pemikiran seorang individu. Dalam
pandangan psikoanalisis, ciri id seseorang itu sudah wujud semasa ianya dilahirkan.
Id dianggap sebagai satu elemen struktur yang semulajadi, satu elemen yang
diwarisi, satu elemen yang sedia ada dalam diri manusia. Id merupakan
satu gejala bawah sedar. Id merupakan satu tenaga yang primitif. Id
tidak teratur, tidak rasional dan penuh dengan orientasi berkehendakkan
kepuasan. Id merupakan sumber labido (seks).
Tujuan utama id adalah bagi mendapatkan
kepuasan swadiri secara mendadak (immediate
gratification). Itulah sebabnya id tidak mempunyai penyatuan dari
segi maksud tidak teratur dan tidak bermoral. Sebagai satu daya tenaga
yang begitu primitif, id merupakan penggerak psikologikal yang tidak payah
dipelajari.
Ego berbeza dengan id. Ego tidak wujud
semasa kelahiran. Sebaliknya, ego berkembang secara berperingkat. Sebagai
elemen pada tahap sedar, ego penuh dengan persepsi, inginkan kemajuan dan boleh
menyesuaikan fungsinya mengikut keadaan. Perkembangan ego adalah melalui
hubungan secara sosial dan identifikasinya dengan orang lain, objek di dalam
alam sekelilingnya. Sebagai alat memperkukuhkan swadiri pada tahap sedar,
ego memainkan satu fungsi yang penting dalam struktur tingkahlaku dan
personaliti individu.
Manakala identifikasi sebagai satu konsep terapan yang
disedari, identifikasi memainkan peranan yang penting semasa mengubahkan haluan
tenaga psike daripada id kepada ego. Antara fungsi ego adalah ego dapat
bertindak terhadap acara yang mendatangkan kecemasan, biasanya konflik atau
pertentangan antara id dengan super ego. Ego mempunyai dua cara untuk
bertindak dalam keadaan kecemasaan. (1) Ego boleh menggunakan asas
pengalaman serta kebolehan tenaga pemikiran yang nyata atau yang
sebenar. Seterusnya, ego boleh bertindak terhadap tingkahlaku penyelesaian
masalah berasaskan pengalaman dan sosialisasi. (2) Ego boleh menggunakan
kaedah menentang, menolak, tipu-helah dengan memesongkan keadaan sebenar atau
kebenaran. Apabila kaedah ini bergerak dan mengambilalih tingkahlaku,
keadan ini ternyata sebagai mekanisma bela diri ego.
Manakala Super ego merupakan struktur yang
ketiga dalam pemikiran tingkahlaku psikoanalisis. Super ego lebih menyerupai hati nurani atau 'conscience' seseorang
individu. Super ego
merupakan akar tunjang dari aspek peneguhan moral yang baik. Moral yang
dipelajari, dikenal pasti daripada ibu dan bapa, mahupun masyarakat. Moral
yang demikian dipelajari hasil daripada asuhan semasa seorang individu itu
masih kecil peringkat umurnya dan berkembang dengan penerapan moral sebagai
sebati dengan hati nuraninya.
Super ego mengawal ego dan id. Super
ego bertindak seakan-akan seperti ibu bapa seorang individu, saling
mengingatkan keadaan, suasana, peristiwa, persepsi, pemikiran, emosi, perasaan,
sikap, tingkah laku. Disebalik super ego sentiasa wujud imej pengawalan. Sebagai
contoh, lazimnya di kalangan orang Melayu, apabila hendak keluar dari rumah,
secara otomatis terlintas bagi memakai kasut. Keadaan menanggalkan kasut
sebelum memasuk ke dalam rumah kediaman juga menjadi kelaziman adat orang
Melayu.
TINGKAH LAKU BERMASALAH
Berdasarkan
dari kajian lepas dan pemerhatian saya, mekanisme halah bela diri ini wujud
timbul kerana kurangnya keupayaan individu dalam proses mengadaptasi atau
akomodasi apabila menghadapi perubahan situasi dalam alam persekitaran. Ini
menyababkan berlakunya gangguan emosi dan aktiviti kehidupan individu serta
seterusnya mengganggu kestabilan dan keharmonian persekitarannya. Dengan kata
lain adalah disebabkan oleh tingkah laku bermasalah.
Tingkah
laku bermasalah boleh didefinisikan sebagai tingkah laku yang tidak normal dan
terkeluar dari nilai dan norma sosial masyarakat, tidak kira di dalam kehidupan
bermasyarakat atau termasuk sekolah. Secara konsepnya, ia bertentangan dengan
tingkah laku yang lazimnya dianggap sebagai persepsi, perasaan, dan perlakuan
yang pada kebiasaanya dialami oleh banyak orang dalam sesebuah masyarakat sama
ada di kawasan pedalaman mahupun bandar.
Dalam
konteks pendidikan, tingkah laku bermasalah merujuk kepada sebarang tingkah
laku yang yang boleh merosakan kelancaran dan keberkesanan proses pengajaran
dan pembelajaran khususnya di dalam bilik darjah. Kajian terhadap masalah murid
sekolah ini membawa kepada dua pecahan utama tingkah laku murid bermasalah
iaitu, positif dan negatif.
Tingkah
laku bermasalah positif yang dikenal pasti seperti perlakuan ingin tahu, cepat
belajar, pintar cerdas dan proaktif. Manakala untuk tingkah laku bermasalah
negatif pula ialah perlakuan distruktif iaitu tingkah laku anti sosial,
disruptif berkaitan tingkah laku mengganggu, dan akhirnya tingkah laku bergantung
yang berlebihan.
Sama
ada seseorang murid itu mempunyai masalah bertingkah laku positif dan negatif,
ia akan membawa kesan yang tidak baik dalam aktiviti pengajaran dan
pembelajaran di dalam bilik darjah. Oleh yang demikian, guru haruslah mengambil
tahu dan segera merancang dan melaksana strategi dan tindakan yang sesuai untuk
mengubah tingkah laku yang negatif itu.
Tingkah
laku bermasalah positif dalam aspek proses pengajaran dan pembelajaran merujuk
kepada perlakuan pelajar yang ingin tahu secara keterlaluan, cepat belajar,
pintar cerdas dan proaktif turut berlaku atau di sekolah dipanggil hiperaktif
positif. Walaupun secara umumnya perlakuan tersebut dilihat adalah sangat baik
dan positif dari segi pembelajaran seorang murid, namun sebaliknya ia
mengganggu kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran yang sedang berlaku.
Sebagai
contoh kes yang berlaku di sekolah, murid A yang berperilaku ingin tahu yang
keterlaluan akan menyebabkan murid A itu suka bertanya tidak pututs - putus
sehingga mengganggu proses penerangan sesuatu topik yang dipelajari semasa
proses pembelajaran dan pengajaran berlaku. Begitu juga perilaku proaktif akan
menyebabkan murid lain yang sedang cuba memahami atau memberi fokus terhadap
sesuatu topik pembelajaran dan memerlukan kosentrasi serta suasana yang
kondusif turut mengalami gangguan dari murid A.
Dalam
pada itu tingkah laku negatif juga menyebabkan tingkah laku menghalang seperti
pergantungan berlebihan, kebimbangan, pengunduran dan pengasingan diri. Tingkah
laku pergantungan berlebihan ini kerap berlaku di kalangan kanak-kanak yang
berumur sepuluh tahun ke bawah. Namun, ianya juga mungkin akan berlarutan hingga
remaja. Pada suatu ketika, apabila orang yang diharapkan tiada, individu ini
akan berasa cemas, takut, bimbang, tertekan dan tidak tahu apa yang
dilakukannya. Individu sebegini juga merupakan individu yang pendiam, tidak
aktif, rendah diri, selalu mengalami kebimbangan dan tekanan. Di antara punca
berlaku tingkah laku pergantungan berlebihan ialah akibat ibu bapa yang
mengamalkan perlindungan terlampau, suasana rumah tangga yang tegang,
autokratik dan tidak mempercayai kanak-kanak.
Daripada
huraian yang telah dijelaskan berkenaan tingkah laku bermasalah negatif ini,
pemerhatian yang telah dibuat mendapati murid yang mengalami simptom ini pada
kebiasaanya memerlukan perhatian yang lebih daripada guru. Mereka juga lemah
dan lambat untuk memahami setiap pelajaran yang disampaikan oleh guru serta
tidak mampu menyelesaikan tugasan atau aktiviti yang diberikan guru dengan
sempurna. Dalam pada itu, golongan yang pasif ini juga seringkali menjadi
mangsa buli dan ditindas oleh pelajar lain kerana kekurangan yang ada dalam
diri mereka. Langkah mengatasi yang telah dijalankan oleh guru untuk
mengelakkan masalah ini daripada menghalang kelancaran proses pengajaran dan
pembelajaran ialah dengan mengasingkan pelajar ini dan menghimpunkan mereka
dalam satu kelompok yang digelar sebagai pelajar pemulihan.
Apabila
fungsi ego yang sedia ada tidak dapat menyesuaikan dengan keadaan sekeliling,
seseorang individu akan tanpa disedari menggunakan mekanisme bela diri bagi menanggani
keadaan yang dihadapi.
MEKANISME HELAH BELA DIRI
Terdapat
dua bentuk helah bela diri iaitu helah bela diri pasif dan helah bela diri
aktif. Antara mekanisme helah bela diri pasif yang digunakan adalah seperti
berikut:
Represi
Bagi Teori Personaliti Freud, strategi ini
merupakan terpenting dan paling asas. Ia sebagai usaha untuk melupakan sesuatu
yang mengecewakan atau memalukan dirinya. Unsur ini akan aktif pada waktu
tertentu dan akan mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku sesaorang tanpa
disedari.
Contoh: Seorang Ketua Jabatan tidak dapat menerima hakikat apabila seorang pegawai bawahannya membuat teguran terbuka terhadap kelemahan atau kekurangannya. Maka si bos ini akan berterusan membenci orang bawahannya itu. Dan, kebenciannya itu sesekali akan dinyatakan melalui aktiviti cakap-cakap atau marah-marah atau kaedah lain yang dapat dia lakukan.
Contoh: Seorang Ketua Jabatan tidak dapat menerima hakikat apabila seorang pegawai bawahannya membuat teguran terbuka terhadap kelemahan atau kekurangannya. Maka si bos ini akan berterusan membenci orang bawahannya itu. Dan, kebenciannya itu sesekali akan dinyatakan melalui aktiviti cakap-cakap atau marah-marah atau kaedah lain yang dapat dia lakukan.
Penafian
Helah bela diri ini berlaku apabila seseorang
itu tidak dapat menerima kenyataan. Individu ini secara sengaja tidak
mahu percaya bahawa perkara yang buruk atau sedih telah berlaku dan akan
melupakannya supaya mereka tidak perlu mengingati kejadian tersebut.
Contoh:
Apabila seorang pesakit diberitahu yang dia
menghidap penyakit barah, dia cuba menyatakan dignosis doctor adalah salah.
Contoh:
Seseorang tidak dapat menerima kenyataan
bahawa dia telah disoalsiasat oleh SPRM atas kes rasuah atau pecah amanah. Dia
menafikan bahawa SPRM yang silap siasat atau si pelapor yang dengki terhadapnya
atau ada orang lain yang buat kesalahan tersebut.
Regresi
Keadaan
ini berlaku apabila seseorang kembali kepada tingkah laku kebiasaan di
peringkat awal perkembangan (langkah ke belakang). Ini kerana tindakan menyorot kembali ke
peringkat perkembangan awal yang dirasai lebih selamat.
Contoh:
Seorang
suami menjerit-jerit kerana isterinya tidak membenarkannya pergi menonton filem
dengan rakan sekerjanya.
Antara
mekanisme helah bela diri aktif yang digunakan adalah seperti berikut:
Sublimasi
Ini merupakan helah bela diri yang paling sihat. Individu
ini menerima atau redha bahawa dia tidak boleh memiliki segalanya dalam hidup
dan kemudian membuat satu rasional dan alasan munasabah bagi menjelaskan
keadaanya pada sesuatu masa. Menyalurkan perasaan kekecewaannya kepada saluran
atau bentuk yang boleh diterima.
Contoh:
Seseorang yang tiada atau sukar mempunyai pasangan, mungkin menyalurkan
perasaan sunyinya dengan mengubah pantun,puisi atau berkaraoke.
Rasionalisasi
Keadaan ini berlaku apabila seorang individu
akan cuba menipu atau berbohong dengan orang lain bagi menutupi kesalahannya.
Individu ini mereka alasan yang salah walaupun boleh diterimapakai.
Contoh:
Si suami berkata dia tidak suka kerjanya jadi
dia berhenti kerja walhal dia dipecat oleh majikannya kerana prestasi buruk.
Pemindahan
Individu
ini akan mengalihkan kemarahannya kepada sasaran lain kerana dia tidak dapat
meluahkan kemarahan sebenarnya kepada orang tersebut.
Contoh:
Seorang pelajar tidak menyiapkan kerja sekolah lalu
dimarahi oleh gurunya. Apabila pulang ke rumah, dia melepaskan kemarahannya
kepada adik-adiknya.
Projeksi
Keadaan apabila individu membalikkan sesuatu kelemahan
atau keinginan kepada orang lain agar orang tersebut dipersalahkan. Individu
ini cuba menuduh orang lain melakukan kesilapan kerana ingin menyembunyikan
kesalahannya. Mereka ini jenis yang tidak boleh terima kelemahan sendiri tatapi
menyalahkan orang lain.
Contoh:
Sifat
tidak mahu berkawan dengan orang lain, mengatakan orang lain sombong tidak mahu
berkawan dengannya.
Intelekstualisasi
Individu
ini memendam emosi yang tidak menyenangkan dan mengasingkan diri mereka
daripada realiti. Mereka sengaja mengelakkan masalah dengan rakan sebaya atau
pasangan. Menghadapi masalah dalam menbina perhubungan yang rapat dengan orang
lain.
Contoh:
Semasa
di sekolah Ana sering bersendirian di dalam kelas dan kurang bercakap. Bila
diselidik di rumah pun Ana suka menyendiri dan sering menjadi mangsa dera emak
angkatnya.
Pembentukan
reaksi
Proses
ini merupakan satu perkembangan sikap yang bertentangan dengan perkara yang
telah dipendam. Keadaan ini berasaskan kepada prinsip bertentangan polariti. Individu
akan melepaskan dirinya dari situasi yang tidak menyenangkan dengan tindakan
yang melampau bagi menghapuskan kekecewaannya. Pembentukan reaksi dilakukan
individu yang bertentangan dengan perasaan atau motif asal untuk elak konflik.
Contoh:
Sekumpulan
kanak-kanak bersiul ketika melalui perkuburan (seolah-olah bergembira dan tidak
takut tetapi sebenarnya mereka cuba melindungi perasaan takut)
KEBAIKAN HELAH BELA DIRI
Sebenarnya
mekanisme helah bela diri ini juga mempunyai beberapa kebaikannya. Namun individu
tersebut hendaklah sederhana dalam mengamalkan helah bela diri ini supaya tidak
mendatangkan sebarang keburukan kepada individu dan orang disekelilingnya.
Antara
kebaikan kepada penggunaan helah bela diri ini ialah boleh membantu individu
dalam menilai tingkah laku diri sendiri. Seseorang itu dapat mengenal dirinya
sendiri melalui beberapa cara. Antaranya adalah dengan memahami cara bagaimana
dia membentuk imej dirinya. Semakin seseorang itu faham mengapa dia mempunyai
anggapan-anggapan tertentu mengenai dirinya, semakin dia dapat memahami siapa
dirinya yang sebenar.
Konsep diri
boleh muncul daripada cara bagaimana seseorang individu itu mentafsir dan
menilai tingkah laku serta fikirannya sendiri. Perbuatan dan tingkah laku
seseorang menyebabkan individu lain mempunyai persepsi imej berkenaan diri
individu itu. Apabila seseorang itu menunjukkan perilaku positif, individu lain
mempunyai imej positif berkenaan diri individu itu. Ini menyebabkan individu
lain itu bercakap dan melayannya dengan cara positif, begitu juga sebaliknya.
Selain itu,
individu tersebut boleh meneguhkan kekuatan diri dan membina peribadi mulia
untuk menjadi insan berwibawa. Melalui penggunaan mekanisme helah bela diri
yang bertepatan individu ini boleh menjadi semakin yakin kepada diri sendiri
dan boleh membina kekuatan dalam diri sendiri.
Helah bela
diri ini juga boleh menjadikan individu menjadi lebih kreatif. Manusia memerlukan daya kreativiti
yang tinggi untuk maju. Lebih menarik lagi, sesiapa sahaja boleh melakukan
latihan-latihan tertentu secara konsisten bagi meningkatkan daya kreativiti
mereka. Hasil penyelidikan menunjukkan bahawa individu yang sangat kreatif
biasanya lahir daripada keluarga yang mengenakan terlalu sedikit peraturan
penting tetapi bermakna. Pakar pendidikan awal Itali, Loris Malaguzzi yang menulis dalam The Hundred Languages of Children
berkata, kreativiti lahir daripada pelbagai pengalaman.
Namun
pengalaman semata-mata tidak berguna. Ia perlu disertakan dengan pembangunan
sumber peribadi yang mendapat sokongan, termasuk kebebasan untuk meneroka luar
daripada batas pengetahuan. Melalui mekanisme helah bela diri yang digunapakai
pada masa-masa tertentu, individu tersebut akan memperoleh pengalaman dan
meningkatkan kreativitinya dalam sesuatu perkara.
Seterusnya
helah bela diri juga boleh membantu individu dalam melepaskan perasaan kurang
enak. Helah bela diri yang berbentuk pasif selalunya membantu individu melepaskan
perasaan marah, kecewa dan rasa tidak puas hati. Sekurang-kurangnya individu
tersebut tidak terlalu tertekan dan boleh melepaskan tekanan mereka dalam
bentuk yang tidak merbahayakan diri dan orang lain.
KELEMAHAN HELAH BELA DIRI
Walaubagaimana
pun helah bela diri ini jika sering digunakan dan keterlaluan akan mendatangkan
keburukan. Pengalaman dan keadah menetang, menolak dan tipu helah
yakni pemesongan keadaan adalah dikenali sebagai makenisma helah bela diri.
Antara
kelemahan penggunaan helah bela diri adalah mengalakkan individu menjadi
penipu. Apabila individu berada dalam situasi yang tertekan mereka akan memilih
untuk menggunakan helah bela diri sebagai topeng bagi menyembunyikah wajah
sebenar atau keadaan sebenar mereka.
Selain
itu, berlaku mental block keadaan apabila individu tidak dapat berfikir
dengan baik. Kemampuan
mereka berfikir secara analitis dan kreatif tersekat kerana sering mencari
helah untuk melarikan diri dari menghadapi tekanan atau masalah. Lama kelamaan keadaan
yang berlanjutan ini akan menyebabkan seseorang menjadi malas berfikir.
Penggunaan
helah bela diri juga boleh menyebabkan kurang rasa keyakinan dan perasaan
rendah diri yang berpanjangan pada individu tersebut. Sifat
rendah diri yang keterlaluan boleh menjadikan kita susah untuk bercampur dengan
masyarakat, kurang keyakinan kendiri, kurang kawan dan sebagainya. Keadaan ini
jika dibiarkan dan dianggap remah akan mendatangkan kesan negative kepada
personaliti individu tersebut.
IMPLIKASI HELAH BELA DIRI TERHADAP
PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Implikasi
mekanisme helah bela diri terhadap proses pengajaran dan pembelajaran di dalam
bilik darjah ialah guru-guru harus mengenali dan menangani pelbagai jenis helah
bela diri ini.
Para
guru-guru harus mengenali kenyataan bahawa kebanyakan tingkah laku negatif di
dalam bilik darjah merupakan satu mekanisme helah bela diri yang berpunca
daripada kebimbangan kendiri atau kekecewaan dalaman murid-murid. Murid-murid
akan cuba untuk ‘menipu’ guru-guru dengan pelbagai mekanisme helah bela diri
yang berlaianan.
Oleh
itu, guru-guru perlu mengetahui tentang jenis-jenis makanisme helah bela diri
yang berlainan dan tingkah laku negative yang berkaitan dengan helah bela diri
yang berbeza. Ini membantu mereka untuk menjadikan pengajaran lebih efektif.
Disebabkan
helah bela diri ini berpunca daripada minda yang bukan sedar, guru-guru tidak
dapat memodifikasikan mekanisme helah bela diri dengan strategi-strategi modifikasi
tingkah laku. Justeru guru yang peka serta memiliki personaliti dan konsep
kendiri yang positif dapat menangani masalah-masalah negative murid-murid
dengan menunjukkan sifat penyayang dan mengambil berat tentang murid mereka.
Implikasi
yang paling penting untuk semua guru ialah mereka harus meningkatkan motivasi
dan konsep kendiri para murid supaya murid-murid tidak perlu mengamalkan
pelbagai jenis-jenis helah bela diri yang berlainan di dalam proses pengajaran
dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
KESIMPULAN
Kesimpulannya helah bela
diri ini sentiasa digunakan oleh individu untuk mempertahankan harga diri.
Namun,
ianya tidak boleh digunakan pada setiap situasi kerana akan memberikan kesan
negatif. Helah bela diri ini hanya membantu
menghilangkan kebimbangan yang bersifat sementara namun tidak dapat
menyelesaikan masalah.
Memberi masa pada seseorang
untuk menilai mengenai cara menyelesaikan masalah. Dapat menambah kemahiran dalam
hidup dari segi mengurangkan tekanan atau perasaan bimbang. Helah bela diri dapat
mententeramkan jiwa seseorang itu berjumpa kaunselor untuk membantunya. Helah bela diri sublimasi
dan rasionalisasi dapat menjadikan seseorang kreatif.
RUJUKAN:
1. Boon Pong Ying & Ragbir Kaur.
(1998). Psikologi II (Semester II).
Penerbit fajar bakti Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.
2. Dr. Ragbir Kaur Joginder Singh (PhD).
2012. Pedagogi (Panduan Ilmu Pendidikan
untuk DPLI). Kumpulan Budiman Sdn Bhd. Edisi pertama.
3. Mok
Soon Sang (2008), Pengurusan Bimbingan
& Kaunseling: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd., Puchong.
4. Omrod,
J. E. (2008). Educational Psychology:
Developing Learners, New Jersey: Prentice Hall Inc.
5. Santrock,
W. J. & Tankard, J. W. (1998). Teori
Komunikasi. DBP, K.L.
6. Suppiah,
N. Ramlah, Abdul Aziz. (2008). Psikologi
Pendidikan. Oxford Fajar.
7. Wood,
D. (2000): How Children Think and Learn (2nd Edition). Blackwell,
U.K.
DISEDIAKAN OLEH : SOPHIA MATTHEW
No comments:
Post a Comment