Thursday 30 August 2012

PEMIKIRAN LATERAL, KRITIS, KREATIF, REFLEKTIF

PENGENALAN


Konsep kemahiran berfikir ialah sesuatu proses yang dialami dan sesuatu jenis kebolehan atau kemahiran. Pemikiran merupakan proses menyusun, mempergunakan maklumat dan pengetahuan menggunakan akal untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Menurut pendapat Edward De Bono (1976), pemikiran merupakan kemahiran yang berkaitan dengan pemikiran lateral. Ianya membolehkan manusia melihat pelbagai perspektif untuk menyelesaikan masalah dalam sesuatu situasi tertentu. Sementara itu, menurut pandangan Islam, berfikir ialah fungsi akal yang memerhatikan tenaga supaya otak manusia dapat bekerja dan beroperasi. Kesimpulannya, definisi pemikiran ialah sesuatu proses menggunakan minda untuk mencari makna dan penyelesaian terhadap sesuatu keraguan atau masalah yang timbul. Permasalahan ini diselesaikan dengan pelbagai cara, membuat pertimbangan dan keputusan serta refleksi yang logikal dan munasabah terhadap proses yang dialami oleh seseorang.

Gaya berfikir banyak menentukan sesuatu keputusan dan tindakan seseorang terhadap sesuatu perkara atau penyelesaian masalah. Manusia mempunyai gaya berfikir yang berbeza-beza. Terdapat beberapa jenis pemikiran yang akan saya bincangkan bagi membezakan pemikiran seseorang individu. Antaranya ialah Pemikiran Lateral, Pemikiran Kritis, Pemikiran Kreatif, dan Pemikiran Reflektif.

PEMIKIRAN LATERAL

Pemikiran Lateral ialah satu cara penyelesaian masalah yang menggunakan daya imaginasi dan bukan secara logik atau tradisional. Pemikiran Lateral ini diasaskan oleh Dr. Edward De Bono yang merupakan seorang pakar dalam bidang perubatan dan pemikiranBeliau memperkenalkan corak berfikir lateral setelah mendapati terdapat banyak halangan pada corak pemikiran konvensional. Pemikiran ini bukan bertujuan menyingkirkan corak pemikiran yang sedia ada tetapi ianya adalah untuk mencari jalan terpantas dan lebih berkesan untuk menyelesaikan masalah yang menepati kriteria yang dikehendaki.   Pemikiran Dr De Bono telah dirumuskan oleh Ainon Mohd dan Abdullah, dalam kata-kata di bawah:

“ Kita tidak akan dapat menggali lubang-lubang baru di tempat-tempat lain kalau kita asyik menggali lubang yang ada supaya lebih dalam lagi” (Ainon Mohd & Abdullah Hassan, 1996).

Terdapat beberapa faktor penting yang diambil kira dalam pemikiran lateral. Antaranya ialah mengenalpasti idea-idea dominan utama dalam masalah yang dihadapi. Kedua, melihat sesuatu masalah daripada sudut-sudut yang berlainan, ketiga melonggarkan cara-cara pemikiran yang terkawal, dan keempat menggunakan idea-idea yang diberikan oleh orang dalam membuat penyelesaian masalah.

Dr. De Bono juga memperkenalkan teori lima prinsip Revolusi Positif yang digunakan untuk mengatasi sifat-sifat negatif berdasarkan konsep lima jari tangan manusia iaitu;  Ibu jari melambangkan keberkesanan (Effectiveness), Jari telunjuk melambangkan sikap membina (Constructive), Jari tengah melambangkan sikap menghormati (respect), Jari manis melambangkan pembaikan diri (self-Improvement), dan Jari kelingking melambangkan sumbangan (contribution).

Sementara itu, terdapat lima teknik pemikiran yang digunakan dalam pemikiran lateral. Antaranya ialah teknik perkaitan bebas, teknik “reversal”, kaedah cabaran, dan menganalisa masalah. Teknik perkaitan bebas biasanya berlaku dalam proses sumbangsaran. Contohnya, semasa pengajaran dan pembelajaran (P&P), guru boleh membincangkan satu topik perbincangan berkaitan isu semasa. Murid-murid bebas menghasilkan idea atau pandangan semasa aktiviti ini dijalankan  malah murid-murid juga bebas menghasilkan idea-idea. Namun begitu, idea-idea dan pandangan murid-murid ini perlu direkodkan atau dicatatkan sebelum mengemukakan pendirian tentang keputusan bagi sesuatu permasalahan yang dibincangkan kepada guru. Sementara keputusan yang dihasilkan adalah keputusan bersama. Teknik pemikiran lateral yang digunakan dalam bilik darjah ini dapat menggalakkan proses pemikiran kreatif dan meningkatkan kemahiran kognitif murid-murid.

Seterusnya, kaedah “reversal” iaitu kaedah yang digunakan untuk menilai sesuatu keadaan yang biasa secara terbalik. Teknik pemikiran yang digunakan ini membolehkan murid tidak perlu mencari jawapan yang betul tetapi penyusunan maklumat akan menggalakkan murid-murid melihat cara-cara yang berbeza untuk menilai sesuatu situasi atau menyelesaikan masalah.

Selain itu, kaedah objek fokal juga digunakan dalam penyelesaian sesuatu masalah. Kaedah ini membolehkan murid memilih sesuatu objek secara rawak dan mengaitkan objek tersebut dengan masalah yang dikaji. Penggunaan strategi pemusatan bahan membolehkan murid memahami pelajaran dengan lebih bermakna apabila dapat mengaitkan bahan yang disediakan oleh guru untuk menyelesaikan sesuatu perkara.

Teknik seterusnya ialah menggunakan kaedah cabaran. Dalam membuat penyelesaian masalah, murid boleh mencabar cara-cara atau sesuatu perkara yang dilakukan menggunakan cara atau keadaan sedia ada. Ianya bermaksud pemikiran murid tidak terhad kepada pemikiran yang sedia ada tetapi berfikir  secara luar kotak. Murid perlu berfikiran terbuka dan berfikir secara positif dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

Seterusnya ialah menganalisa masalah. Proses pemikiran yang dilakukan adalah dengan cara memecahkan masalah kepada bahagian yang lebih kecil. Dalam penyelesaian sesuatu masalah, seseorang murid dapat menyusun semula situasi masalah menggunakan cara penyelesaian masalah yang baru dan berbeza antara seorang individu dengan individu yang lain.

Sementara itu, guru juga berperanan dalam merangsang kepelbagaian pemikiran murid. Ianya bertujuan untuk menggalakkan proses pemikiran kreatif dalam kalangan murid. Selain itu, guru perlu menggalakkan murid menyelesaikan masalah melalui pelbagai perspektif dengan cara memecahkan sesuatu masalah kepada bahagian yang lebih kecil untuk penyelesaian yang unik dan berbeza. Antara kaedah yang boleh digunakan ialah menyediakan senarai rujuk sesuatu masalah, permainan dan latihan, kaedah metafor dan analogi.

Dr. Edward De Bono telah menyediakan beberapa garis panduan dalam membuat keputusan untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Murid dan guru boleh mengunakan garis panduan ini semasa P&P dalam bilik darjah. Antaranya ialah sentiasa bersikap positif dan konstruktif, berfikir secara perlahan-lahan dan secara mudah serta jangan memudahkan sesuatu perkara. Selain itu, murid dan guru juga perlu melupakan ego, jangan biarkan ego bercampur aduk semasa berfikir, menentukan tujuan berfikir, menukarkan pemikiran  otak untuk berfikir secara logik dan  pemikiran kreatif, menentukan hasil yang hendak dicapai. Seterusnya ialah sentiasa fikirkan alternatif yang lain, memberi tempat kepada perasaan, menukar ganti pemikiran secara luas dan terperinci, membezakan perkara yang sepatutnya dengan yang mungkin, mengambil kira pendapat orang lain, dan melibatkan nilai dalam semua jenis tindakan yang hendak diambil dalam membuat sesuatu keputusan.

Kesimpulannya, terdapat banyak alat berfikir dalam menyelesaikan permasalahan dengan cekap dan berkesan. Dr. Edward De Bono telah memperkenalkan “CoRT Cognitive Research Trust”. Ianya merupakan satu teknik alat berfikir yang boleh digunakan dalam membuat keputusan menyelesaikan sesuatu masalah. Terdapat tujuh teknik yang diperkenalkan oleh beliau iaitu PMI, AGO, APC, CAF, OPV, C&S, dan FIP.

PMI (Plus, Minus, Interesting) ialah konsep  perkara-perkara yang baik , buruk dan menarik.  Ianya bertujuan untuk meluaskan persepsi dan memaksa seseorang berhenti dan berfikir sejenak sebelum membuat keputusan yang drastik . AGO (Aims, Goals, Objectives)  adalah matlamat, tujuan dan objektif . Konsep ini dapat meluaskan sudut pandangan dan membantu dalam mengingatkan tujuan asal berfikir serta dapat membantu seseorang berfikir secara terfokus.

Seterusnya ialah APC (Alternatives, Possibilities, Choice). Ianya merupakan alternatif, kemungkinan dan pilihan yang membolehkan seseorang melihat perkara yang sama dari pelbagai sudut pandangan.  Konsep ini juga membuatkan seseorang memikirkan beberapa tindakan yang patut dibuat dan membolehkan seseorang mencari cara lain bagi menyelesaikan masalah yang sama. Sementara itu, CAF (Consider All Factors) adalah konsep yang mengambil kira semua faktor. Ianya digunakan oleh seseorang untuk meluaskan sudut pandangan dan membantu seseorang mengarahkan minda ke semua arah yang penting. Manakala, OPV (Other People’s Views)  adalah konsep pandangan orang lain  iaitu membantu seseorang untuk memahami sudut pandangan orang lain serta dapat membantu seseorang dalam meluaskan lagi pandangannya.

Konsep yang lain ialah C&S (Consequence and Sequel). C&S ialah kesan dan akibatnya yang dapat membantu seseorang melihat jauh ke hadapan dan digunakan oleh seorang untuk membuat penilaian. FIP (First Important Periorities) adalah keutamaan-keutamaan yang perlu diutamakan atau didahulukan.  Konsep ini mengingatkan seseorang mengambil kira perkara-perkara yang penting serta dapat membantu seseorang untuk berfikir secara terfokus. 

Oleh itu, sebagai guru adalah perlu menerapkan konsep pemikiran lateral ini dalam P&P terutamanya dalam membuat keputusan untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Video dibawah ini menunjukkan contoh konsep pemikiran yang digunakan  dalam bilik darjah. "DeBono Six Thinking Hats in the Classroom". 
                                    
 
                              http://www.youtube.com/watch?v=yUIiluJrWKg&feature=related


PEMIKIRAN KRITIS

Pemikiran kritis ialah suatu penerokaan yang bertujuan untuk mengkaji situasi, fenomena, dan persoalan untuk menghasilkan rumusan yang merangkumi semua maklumat yang ada. Ianya merupakan kemahiran intelektual untuk menilai dan mempertimbangkan sesuatu situasi dan melibatkan kebolehan menganalisis nilai sesuatu. Penerokaan yang berlaku bagi kalangan pemikiran kritis sangat berkaitan dengan pengalaman yang dialami melalui bahan bacaan, pemerhatian, mendengar, dan melihat atau menempuhinya sendiri. Sementara sumber yang diperolehi ini akan diaplikasi pada pelbagai situasi yang sedang dihadapi.

Pemikiran kritis merupakan aspek yang penting dalam menjana ilmu pengetahuan yang baru. Ianya melibatkan pemikiran secara reflektif, produktif dan menilai bukti-bukti untuk memperoleh dapatan yang logik dan tepat. Menurut pendapat John Dewey (1933), beliau mencadangkan idea kepada murid untuk memikirkan secara reflektif. Murid  diberi galakkan untuk memberi jawapan dengan menerangkan secara tepat sementara guru pula memberi galakkan kepada murid untuk bertanya dan bersoal jawab bagi mendapatkan jawapan berdasarkan bukti terhadap maklumat yang disampaikan oleh murid. Sementara itu, Winn (2004) pula berpendapat, cara untuk menggalakkan murid memikirkan secara kritis adalah apabila guru mengemukakan  artikel-artikel yang memaparkan  isu yang boleh didebatkan dengan baik.

Menurut pendapat Nosch (2001) terdapat tiga kaedah yang boleh digunakan  dalam P&P di dalam bilik darjah. Antaranya ialah kaedah bertanya soalan, cuba menjawab soalan dengan memikirkan tentang jawapan, dan percaya penaakulan seseorang. Sementara, Santrock (2004) pula menyatakan ada tujuh cara untuk mengukuhkan pemahaman murid tentang pemikiran kritis. Antaranya ialah, bertanya bukan sahaja apa yang terjadi, tetapi juga ‘bagaimana’ dan ‘mengapa’, memeriksa fakta-fakta untuk mengenal pasti sama ada wujud bukti untuk menyokongnya, berbincang dengan cara bersebab dan bukan emosi, sedar bahawa kadangkala wujud lebih daripada satu jawapan atau penerangan yang betul. Seterusnya ialah perlu membandingkan jawapan dan soalan antara seorang murid dengan murid yang lain, memilih jawapan yang terbaik, menilai dan bertanya apa yang disebut oleh orang lain daripada menerimanya sebagai sesuatu yang benar secara tergesa-gesa, serta bertanya pelbagai soalan dan cuba berspekulasi lebih lanjut tentang apa yang telah diketahui oleh murid untuk mewujudkan idea-idea dan informasi yang baru.

Pemikiran kritis penting dalam dunia yang mencabar. Murid harus belajar mengaplikasikan pemikiran kritis semasa berhujah tentang apa jua topik perbincangan. Murid harus digalakkan untuk berusaha secara intelektual untuk berfikir dengan cara kompleks. Sementara guru pula harus merangsang keupayaan murid untuk memikirkan masalah dalam konteks pemikiran kritis. Contohnya, dalam P&P berkaitan tanaman hirdoponik, murid yang berfikiran kritis akan bertanya dengan guru bagaimana tanaman ini boleh mendapatkan sumber makanan untuk pertumbuhan dan pembesarannya. Ini kerana jika sebelum ini mereka mempunyai pengetahuan sedia ada bahawa tanaman sayuran hanya ditanam menggunakan tanah tetapi dalam P&P ini guru mengunakan bekas takungan air untuk menanam sayuran. Jadi, seorang guru yang berfikiran kritis perlu memberi jawapan kepada murid supaya murid dapat membuat perbandingan antara tanaman biasa dengan tanaman hidroponik.

Semua pihak perlu berusaha ke arah mencapat matlamat untuk melatih murid menjadi pemikir yang baik. Terdapat pelbagai cara yang boleh digunakan untuk menerapkan pemikiran kritis kepada murid-murid. Antaranya  ialah menggunakan strategi berpusatkan murid. Tujuannya supaya murid dapat membuat penilaian yang bernas dan mencari penyelesaian optimal. Seterusnya ialah menguruskan fakta secara sistematik dan tersusun, menggunakan soalan-soalan yang sesuai dengan tahap kognitif murid supaya murid dapat menilai semua fakta untuk tujuan menyelesaikan masalah.

Selain itu, guru perlu memberi soalan-soalan yang lebih sukar kepada murid yang lebih bijak untuk menggalakkan tahap pemikiran kritikal yang lebih tinggi, menggalak perbincangan dan aktiviti menyelesaikan masalah dalam bilik darjah, dan memastikan murid-murid memahami penaakulan yang digunakan, serta menggalakkan murid-murid membuat perbandingan isi jawapan yang diberikan oleh rakan sebaya sama ada baik atau lemah. Disamping itu, guru-guru juga perlu menggalakkan murid-murid untuk melihat perspektif yang berbeza-beza dan memastikan murid-murid membuat pertalian yang signifikan serta mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari di dalam dunia sebenar.

Kesimpulannya, guru-guru juga perlu mengunakan beberapa strategi untuk meningkatkan pemikiran kritis di kalangan murid. Antaranya ialah guru berperanan untuk membantu dalam mengkonstruk pemikiran muridnya sendiri. Guru perlu menilai soalan-soalan murid dengan serius, mendapatkan pandangan, penerangan, dan keinginan atau minat murid dengan tekun untuk membantu menganalisis situasi-situasi pembelajaran yang mencabar. Guru juga harus menganalisis strategi mengajar iaitu mengemukakan soalan-soalan berdasarkan pemikiran dalam pembelajaran. Ianya dapat membantu murid memahami dengan lebih mendalam topik yang dibincangkan. Seterusnya ialah guru juga perlu menyediakan model peranan yang positif. Guru perlu menjemput tokoh-tokoh model yang boleh berkongsi pengalaman sebenar mereka supaya murid dapat berinteraksi dengan idea-idea sebagai maklumat primer dalam mengatur strategi pemikiran pembelajaran yang efektif dan dan berkesan. Justeru itu, pemikiran kritis melibatkan kebolehan menganalisi nilai sesuatu. Oleh itu, seseorang perlu mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang luas tentang sesuatu perkara yang tertentu. Bagi membuat sesuatu kritikan, seseorang itu perlu berfikir secara teliti, mengumpulkan maklumat, membuat pengamatan yang tajam, berfikiran terbuka, tidak bersikap berat sebelah, cekap menganalisis dan menyimpulkan rumusan.

                                                                   
Video berkaitan pemikiran kritis  kanak-kanak, : http://www.youtube.com/watch?v=HkHgUCMGW4w


PEMIKIRAN KREATIF

Pemikiran kreatif didefinisikan sebagai operasi berfikir yang dapat mengembangkan idea atau mencipta idea, hasil, metafora, analogi dan definisi, ataupun mereka-cipta sesuatu yang baru. Ianya merupakan satu jenis pemikiran di mana seseorang dapat memikirkan pelbagai idea baru yang belum difikirkan oleh orang lain untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Seorang guru perlu cekap dalam menjana pemikiran kreatif di kalangan murid-muridnya. Contohnya, guru perlu memberikan peneguhan positif dalam bentuk ganjaran dan hadiah apabila murid-murid dapat melahirkan idea-idea yang kreatif dan unik.

Pemikiran kreatif terbahagi kepada beberapa ciri. Dalam pemikiran kreatif, keberanian adalah diperlukan untuk menjana idea yang baru dan pelbagai tanpa dikongkong oleh idea-idea yang lama.  Oleh itu, seseorang yang berfikiran kreatif, akan berfikir secara terbuka, sanggup menerima risiko, dan kritikan daripada orang lain dalam membuat keputusan menyelesaikan sesuatu masalah.  Kedua, pemikiran kreatif juga mengandungi ciri imaginasi yang mencapah serta kemahiran sintesis untuk mencantum idea-idea yang sedia ada bagi menghasilkan idea-idea yang baru. Ketiga ialah mengandungi ciri perkembangan idea. Melalui pemikiran kreatif pelbagai alternatif idea yang baru dapat disediakan dalam membuat penyelesaian masalah. Seterusnya ialah pemikiran kreatif yang mengandungi ciri reka cipta.  Reka cipta yang dihasilkan adalah berasaskan kemahiran sintesis untuk menghasilkan idea yang baru. Selain itu, pemikiran kreatif juga menjadikan seseorang itu mampu mengandaikan sesuatu di luar jangkaan orang lain, berfikiran secara autonomi, memiliki daya fokus yang tinggi dan berterusan, pelbagai dan dinamik, holistik, dan kaya dengan idea baru.

Teknik yang boleh digunakan untuk merangsang pemikiran kreatif ialah menggalakkan pemikiran kreatif secara individu dan kumpulan. Guru perlu mewujudkan situasi yang membolehkan murid-murid menyatakan idea-idea kreatif melalui teknik sumbangsaran. Teknik ini sesuai untuk mendapatkan pandangan dan pendapat yang bernas tanpa mengkritik idea-idea daripada rakan sebaya semasa perbincangan. Teknik sumbangsaran juga dapat membina semangat berpasukan yang kuat di kalangan murid. Strategi kreatif yang baik dapat dihasilkan melalui kewujudan idea-idea yang banyak disamping persekitaran yang dapat membantu melahirkan keinginan secara semulajadi melalui aktiviti berkumpulan dan latihan yang disediakan oleh guru. Contohnya ialah berpandukan video sekumpulan semut yang saya perolehi melalui sumber internet, ingin menyeberangi sungai dari dua bukit yang tinggi tetapi menghadapi masalah apabila dahan pokok yang hendak digunakan untuk menyeberang jalan tersebut telah patah. Oleh itu, ketua kumpulan semut ini berbincang secara sumbangsaran untuk menyelesaikan masalah mereka itu. Kesimpulan yang boleh diambil daripada petikan video ini ialah guru dan murid boleh menggunakan kaedah sumbangsaran dan bekerjasama dalam mencari idea mengunakan pengetahuan dan pengalaman sedia ada untuk menyelesaikan masalah.


        video pemikiran kreatif  http://www.youtube.com/watch?v=7cmfotlzGO0


PEMIKIRAN REFLEKTIF

Pemikiran reflektif adalah satu cara pemikiran untuk menyelesaikan sesuatu masalah secara peringkat, kritis, kreatif, imbas kembali pengalaman yang berkaitan dan penilaian terhadap kemungkinan penyelesaian atau refleksi. Menurut pendapat  Birchall (1992), pemikiran reflektif memerlukan penggunaan pengalaman sedia ada untuk menimbangkan kemungkinan tindakan alternatif yang boleh digunakan untuk mencapai objektif penyelesaian masalah serta menetapkan keputusan bagi tindakan yang seterusnya. Sementara itu, Wilson J & Wing Jan L (1993) pula, menyatakan pemikiran reflektif berhubung rapat dengan aspek-aspek pemikiran yang lain iaitu pemikiran kritis dan kreatif yang digunakan sebagai pendekatan penyelesaian masalah.

Komponen dan proses pemikiran reflektif yang boleh digunakan dalam menyelesaikan sesuatu masalah ialah melalui beberapa peringkat. Antaranya ialah peringkat membaca dan mentafsir maklumat dengan cara memahami masalah melalui pemikiran kognitif. Seterusnya ialah proses menentu dan menyusun maklumat dengan cara memproses dan menganalisis data dengan pemikiran secara kritis. Kemudiannya ialah mencari hubungan masalah dengan cara mengingat kembali perhubungan pengalaman-pengalaman yang sedia ada dengan penyelesaian masalah melalui cadangan hipotesis. Semasa membuat cadangan hipotesis, pemikiran kritis dan kreatif digunakan untuk mencari idea yang baru berpandukan pemikiran sedia ada dan mencari pelbagai kemungkinan penyelesaian bagi masalah tersebut.  Kemungkinan-kemungkinan ini hendaklah dinilai menggunakan pemikiran refleksi untuk membuat keputusan atau menetapkan sesuatu tindakan.

Cara-cara yang boleh digunakan untuk meningkatkan pemikiran reflektif ialah memperkenalkan masalah secara terbuka. Guru boleh mengemukakan sesuatu topik pengajaran di dalam bilik darjah untuk dikenalpasti punca sesuatu masalah. Contohnya, isu berkenaan masalah jerebu, murid-murid boleh membuat aktiviti sumbangsaran bagi membincangkan masalah ini. Peranan guru ialah membimbing murid untuk berfikir secara kritis, menganalisis dan mantafsir data berkaitan  punca masalah jerebu dan cara-cara untuk mengatasi masalah ini. Murid-murid  boleh mengunakan pengalaman mereka dalam membentuk hipotesis serta menghasilkan pelbagai kemungkinan penyelesaian yang wajar dalam mengatasi masalah ini. Guru juga boleh mengunakan teknik penyoalan untuk meningkatkan daya pemikiran reflektif murid berhubung sesuatu isu atau topik yang dibincangkan.

Selain itu, terdapat lima strategi yang telah dibuat oleh Beyer (1987) untuk meningkatkan pemikiran reflektif. Antaranya ialah penggunaan log pembelajaran individu untuk merekod maklum balas pembelajaran murid dalam bilik darjah, log “double entry” untuk merekod fakta pelajaran yang mengandungi soalan-soalan murid dan refleksinya, serta log pembelajaran dialog yang digunakan untuk membuat catatan refleksi di antara dua orang atau lebih. Log ini berkaitan maklum balas pembelajaran antara guru dan murid.

Seterusnya ialah pemetaan konsep yang melibatkan penggunaan peta minda dan pengurusan grafik. Murid-murid boleh menggunakan kaedah ini untuk membuat catatan tentang sesuatu topik pembelajaran bagi memudahkannya untuk mengimbas kembali topik pembelajaran lepas. Malah kaedah seperti peta minda ini juga dapat membantu murid untuk mengingat sesuatu fakta dan menarik minat murid melalui kreativiti yang dihasilkan. Selain itu, pembelajaran rundingan juga dapat meningkatkan pemikiran reflektif murid. Ianya melibatkan aktiviti pembelajaran yang memerlukan penggunaan refleksi kendiri dan pemikiran refleksi dalam proses perbincangan, penilaian dan membuat keputusan.  Disamping itu, jurnal reflektif juga dapat meningkatkan pemikiran murid melalui catatan tentang sesuatu peristiwa dan masalah yang dihadapi. Guru boleh membuat refleksi, menilai serta menggunakan jurnal ini untuk mengambil tindakan susulan bagi mengatasi sesuatu masalah pengajaran dan pembelajaran.

Kesimpulannya, pemikiran reflektif ini boleh dilihat melalui video yang diambil dari internet berkaitan bentuk asas reka bentuk. Berdasarkan video ini, murid ini mengunakan konsep nyanyian boria bagi memudahkannya untuk mengingat jenis dan ciri-ciri bentuk asas reka bentuk. Ini menunjukkan bahawa murid mengunakan pengetahuan dan pengalaman sedia ada untuk mengaplikasi bentuk pembelajaran yang dapat membantu dan memudahkannya lebih faham tentang bentuk dua dan tiga dimensi dalam kemahiran hidup.

           


PENUTUP

Secara keseluruhanya, saya dapati bahawa jenis-jenis pemikiran yang saya bincangkan ini saling berkaitan cuma kaedah dan cara pengunaannya untuk menyelesaikan masalah adalah berbeza. Dalam pengajaran dan pembelajaran, guru harus bijak dalam mengunakan cara pemikiran untuk menghasilkan pengajaran yang berkesan. Guru-guru harus berfikir secara kritis dan kreatif bagi mengembangkan bakat murid secara holistik ke tahap yang maksima merangkumi semua aspek dan membina potensi individu. Selain itu, persekitaran yang selesa dan kondusif juga akan membantu murid untuk menjana idea kritis, dan kreatif. Malah penggunaan pemikiran dan amalan refleksi dalam pengajaran dan pembelajaran dapat mempertingkatkan kemahiran seseorang guru  dalam menangani permasalahan murid dan penyelesaian sesuatu masalah dalam bidang pendidikan.


RUJUKAN
Mok Soon Sang. 2001.  Psikologi Pendidikan untuk Kursus Diploma Perguruan (Semester 1). Kumpulan Budiman Sdn Bhd. Edisi pertama. (m.s:119-133).
Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. 2009. Siri pendidikan Guru (Murid dan Alam Belajar). Oxford Fajar Sdn Bhd. (m.s: 197-204).
Dr. Ragbir Kaur Joginder Singh (PhD). 2012. Pedagogi (Panduan Ilmu Pendidikan untuk DPLI). Kumpulan Budiman Sdn Bhd. Edisi pertama. (m.s:46 -80).
Dr. Ragbir Kaur Joginder Singh (PhD). 2012. Psikologi (Panduan Ilmu Pendidikan untuk DPLI). Kumpulan Budiman Sdn Bhd. Edisi pertama. (m.s:121 - 138).
Penulisan Jurnal / Kajian
Yahya Buntat & Nurhusna Mohamed. Aplikasi pemikiran kreatif dan kritis dalam pengajaran guru-guru teknikal bagi mata pelajaran teknikal di Sekolah Menengah Teknik di Negeri Johor. Falkuti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia.
Mohd Taufiq b. Ahmad Sobri & Mohd Hasrul b. Mat Husin. Strategi Pemikiran Kreatif dan Kritis. Pelajar Falkuti Pendidikan, Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Nor Hasniza Ibrahim, Johari Surif dan Muhammad Yusof Arshad. Kepentingan Pemikiran dan Amalan Refleksi dalam Pengajaran Sains di Kawasan Luar Bandar. Universiti Teknologi Malaysia.

Sumber internet

2 comments: